Sunday, December 31, 2006

2006

Hari ini Hari Raya Haji. Aku rasa sungguh sedih kerana kali ini hanya beraya di Segamat. Ada satu rasa rindu yang tak dapat nak diceritakan. Aku rasa sungguh sedih juga kerana kehadiran Januari sudah membayangkan bahawa masanya sudah hampir untuk aku pulang semula ke negara roo. Mungkin Aidilfitri and Aidiladha yang akan datang aku akan merayakannya lagi sebagai anak perantauan. Manakan sama dengan suasananya di sini ... tak kan ada masakan mak aku.
Hari ini juga hari terakhir di tahun 2006. Umpama lagu di Akhir Disember nyanyian Kopratasa ... akan datang akhir Disember ini ... bulan di ranting pohonan dan angin yang bersisir dalam nafas malam mengalir antara bayang dan sepi sementara menunggu lebuh jagat ini ...
2006 adalah satu tahun yang sungguh berwarna warni dalam hidup aku. Ada gelap, ada cerah. Ada meriah, ada air mata. Ada dugaan, ada juga kesyukuran. Enam bulan terakhir 2006 ialah satu tempoh masa yang banyak membuka mata aku. Banyak peristiwa terjadi tak dapat aku lupa - kalahnya aku di dalam kekecewaan, dan bangkitnya aku semula di atas keyakinan dan sokongan yang tak pernah putus dari Mak dan Bapak aku - adalah yang paling bermakna sekali. Aku tidak akan lupa lagi apa itu erti kemahuan. cita-cita dan keberanian. Kenangan di utara juga mendewasakan aku sepertimana rasa insafnya aku bila menyaksikan banjir buruk yang melumpuhkan Segamat dan memusnahkan harta benda dan nyawa penduduk. Ia mengajar aku erti lain satu kesyukuran. Dan mana mungkin dapat aku lupakan mandi air ujan di belakang rumah dengan mak aku sebab tak de air selama seminggu. Kembali semula ke tanah air juga tiada tolok bandingnya bila dapat bertemu semula dengan sahabat handai. Keasyikan masing-masing mengejar impian merupakan pencetus semangat untuk aku terus memajukan diri. Terima kasih 2006.
Hari esok hari baru untuk kita. Aku tak ada resolusi tahun baru. Aku hanya bermohon kepadaNya agar diberikan perlindungan dan kekuatan kepada semua ahli keluargaku untuk menghadapi segala apa yang mungkin. Semoga semuanya selamat, sihat dan bahagia selalu. Untuk anda juga.

No comments: